Sunday, July 1, 2007

Apa Itu Rancangan Perniagaan?

APA ITU RANCANGAN PERNIAGAAN (RP) ?

Rancangan perniagaan (RP) atau business plan merupakan sebuah dokumen bertulis yang menerangkan perkara yang berkaitan dengan perniagaan yang hendak dilaksanakan. Dokumen ini mengandungi beberapa maklumat berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan serta perancangan yang terperinci yang meliputi aspek pemasaran, pengurusan, operasi dan kewangan sesuatu perniagaan. Rancangan perniagaan kadangkala dikenali juga sebagai kertas projek atau kertas kerja.
Penyediaan rancangan perniagaan adalah proses mendokumentasikan segala perancangan yang bakal dilaksana bagi tujuan memulakan sesuatu perniagaan. Perancangan yang dikemukakan tanpa dokumentasi akan menyukarkan usahawan untuk mengingatinya semula apabila ianya perlu dikaji semula.
Selain itu penyediaan rancangan perniagaan juga dapat memberikan gambaran secara menyeluruh kepada usahawan mengenai projek atau perniagaan yang bakal meraka jalankan sama ada ianya berdaya maju ataupun sebaliknya. Penyediaan rancangan perniagaan yang berdasarkan maklumat dan data terkini ini dapat mengelakkan usahawan daripada membuat pelaburan terhadap projek atau perniagaan yang tidak berdaya maju dan seterusnya mengelakkan meraka rugi dan gagal.
Dokumen rancangan perniagaan juga sering kali dikaitkan bagi tujuan memohon pinjaman daripada intitusi kewangan seperti bank. Keperluan rancangan perniagaan ini dilihat sebagai memenuhi keperluan pihak bank. Pihak bank atau pihak yang bakal memberikan pinjaman akan menilai dan meneliti rancangan perniagaan yang telah usahawan sediakan sebelum mereka meluluskan sesuatu pinjaman yang dipohon.
Selain daripada digunakan bagi tujuan memohon pinjaman daripada intitusi kewangan, dokumen rancangan perniagaan ini juga disediakan bagi tujuan berikut:
1. Sebagai panduan di dalam mengendalikan perniagaan
Rancangan perniagaan seharusnya dijadikan panduan di dalam mengendalikan aktiviti perniagaan. Rancangan perniagaan memberikan gambaran tentang bagaimana sesuatu perniagaan itu harus dijalankan melalui matlamat hala tuju yang telah ditetapkan.
2. Mengurangkan risiko berlakunya kegagalan
Usahawan harus menjadikan rancangan perniagaan sebagai panduan di dalam mengendalikan perniagaan sebagai langkah untuk mengurangkan risiko berlakunya kegagalan. Semasa penyediaan rancangan perniagaan, usahawan akan melakukan kajian dan menilai dayamaju projek atau perniagaan yang ingin diusahakan terlebih dahulu berdasarkan maklumat dan data terkini sebelum memulakan sesuatu perniagaan itu. Dengan itu usahawan itu dapat menilai samada perniagaan yang ingin dilakukan itu berdaya maju atau sebaliknya.
3. Memahami perniagaan dengan lebih jelas
Usahawan yang menyediakan rancangan perniagaan meraka sendiri dapat memahami bidang perniagaan yang meraka lakukan dengan lebih jelas. Dengan menyediakan sendiri rancangan perniagaan usahawan secara tidak langsung akan dipaksa memahami segala aspek didalam pengurusan perniagaan meraka meliputi aspek pengurusan, pemasaran, operasi dan kewangan.
4. Menentukan jumlah modal yang diperlukan
Sesebuah rancangan perniagaan yang disediakan dapat membantu usahawan didalam menentukan jumlah modal yang diperlukan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan yang meraka jalankan. Dokuman ini juga dapat membantu dari segi penentuan sumber pembiayaan yang diperlukan dan daripada mana ia diperolehi.
5. Sebagai panduan di dalam menguruskan perniagaan
Usahawan seharusnya menggunakan dokuman rancangan perniagaan yang meraka sediakan sebagai panduan di dalam mengawal aktiviti perniagaan meraka. Dokumen ini membolehkan usahawan membandingkan pencapaian sebenar syarikat dengan pencapaian yang telah dirancang dan seterusnya merangka strategi baru bagi mamperbaiki lagi pencapaian sedia ada.
Koleksi Contoh Rancangan Perniagaan
Terdapat pelbagai format didalam penyediaan rancangan perniagaan. Format rancangan perniagaan ini mungkin berbeza dari segi susunan topik walaubagaimanapun kandungan utama sesebuah RP adalah sama.
Umumnya, sesebuah RP yang baik mempunyai bahagian permulaan dan bahagian utama.
1. Bahagian permulaan RP
Bahagian permulaan bagi sesebuah RP mengandungi perkara-perkara berikut:
1.
Suratiringan
2. Kulit dan halaman tajuk
3. Ringkasan eksekutif
4. Isi kandungan
5. Profil syarikat/perniagaan
2. Ringkasan eksekutif
Bahagian ini menerangkan aspek-aspek terpenting yang ingin di beritahu kepada pihak yang membaca. Ruangan ini memberitahu secara ringkas mengenai kandungan rancangan perniagaan dan biasanya ringkasan eksekutif ini tidak ditulis terlalu panjang.
3. Pengenalan
Bahagian ini memberikan penerangan secara terperinci mengenai perniagaan/ syarikat dan objektif yang ingin dicapai. Bahagian ini juga menerangkan tentang struktur dan hak milik perniagaan.
4. Rancangan operasi/ teknikal
Ruangan ini memberikan penerangan mengenai aspek teknikal perusahaan yang akan dijalankan yang meliputi segala keperluan seperti teknologi, peralatan dan mesin, bahan dan prosedur operasi/ pengeluaran. Ia juga menerangkan secara terperinci mengenai aspek pembuatan dan lain-lain keperluan yang diperlukan di dalam penghasilan sesuatu produk atau perkhidmatan.
5. Rancangan pemasaran
Bahagian ini membincangkan tentang aspek pemasaran bagi produk atau perkhidmatan yang dihasilkan. Dalam rancangan pemasaran data-data seperti saiz pasaran, permintaan persaingan dan tren pasaran akan di nyatakan dengan terperinci. Ia juga menerangkan tentang strategi-strategi yang akan di lakukan untuk memasarkan produk atau perkhidmatan yang dihasilkan. Bahagian ini merupakan bahagian yang paling kritikal sekali dan biasanya pihak penilai akan memberikan lebih perhatian terhadap aspek pemasaran ini berbanding bahagian yang lain di dalam RP anda.
6. Rancangan pengurusan
Ruangan ini menerangkan tentang struktur organisasi dan kumpulan pengurusan syarikat. Ia juga menerangkan tentang keperluan tenaga kerja dan pogram-pogram atau insentif yang bakal diberikan kepada bakal pekerja.
7. Rancangan kewangan
Rancangan kewangan akan menerangkan aspek keperluan kewangan, keperluan modal dan sumber-sumber pembiayaannya. Penyata-penyata dan unjuran-unjuran kewangan akan disertakan selain beberapa analisis kewangan bagi menilai daya maju projek.
8. Penutup/ kesimpulan
Bahagian akhir ini menjelaskan tentang matlamat perniagaan dan komitmen pemilik terhadap kejayaan perniagaan yang bakal dilaksanakan. Bahagian ini haruslah dapat meyakinkan pihak yang menilai untuk meluluskan permohonan anda.

No comments: